Tuesday 10 April 2018

4 TANDA UTAMA IBU BERPANTANG KEMURUNGAN

4 TANDA UTAMA IBU BERPANTANG KEMURUNGAN

Menyambut kelahiran bayi adalah sesuatu perkara yang sangat indah buat anda lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru pertama kali bergelar seorang ibu. Namun disebalik kegembiraan itu, ia boleh bertukar menjadi kemurungan jika emosi ibu berpantang tidak dijaga dengan betul. Emosi jadi tidak menentu. Adakalanya anda berasa gembira dan ada kalanya berasa gelisah seperti ada yang tidak kena. Perasaan menjadi bercampur baur.


Kemurungan atau boleh dikatakan sebagai meroyan selepas bersalin menyebabkan perasaan sedih dan gelisah yang melampau serta ia boleh memberi kesan terhadap penjagaan bayi anda.

Apakan itu Pospartum Depression?

Postpartum Depression adalah sejenis penyakit kemurungan yang dialami oleh ibu selepas bersalin. Tekanan emosi yang dialami oleh ibu yang sering digelar oleh masyarakat melayu iaitu "gila angin meroyan", dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi.

Penyakit kemurungan ini selalunya terjadi sekitar 4-6 minggu selepas bersalin atau beberapa bulan selepas kelahiran bayi anda. Moroyan adalah satu penyakit yang perlu dirawat dari segi psikologi serta boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa menunjukkan tanda-tanda awal.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan Dan Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr Sharifah Halimah Jaafar, kemurungan selepas bersalin ialah penyakit psokologi serius yang boleh berlaku dalam beberapa bulan pertama selepas kelahiran. Ia juga boleh berlaku selepas keguguran dan kelahiran kematian.

3 Tanda Utama Ibu Berpantang Mengalami Kemurungan


1. Sering Kelihatan Muram

Emosi yang tergambar di wajah mereka adalah salah satu tanda yang mudah dilihat bahawa ibu itu mengalami kemurungan. Mereka akan kelihatan seolah-olah menangis, marah dan kadang-kala berasa takut tanpa alasan yang munasabah. Emosi mereka jadi tidak menentu. Perubahan emosi ini adalah secara tiba-tiba dan orang sekeliling mereka mungkin akan risau dan terganggu dengan perubahan tersebut.

Kemurungan boleh jadi berminggu-minggu atau berbulan-bulan selepas melahirkan bayi. Emosi mereka akan jadi tidak stabil dari hari ke hari sehingga menjejaskan hubungan dengan bayi. Ia akan bertambah teruk lagi apabila mereka mula mengabaikan keperluan bayi yang baru dilahirkan dan sedikit sebanyak akan mengganggu proses tumbesaran bayi

2. Sukar Tidur

Mereka yang mengalami kemurungan akan menghadapi masalah sukar tidur. Apabila mereka kurang tidur, maka secara tidak langsung mereka tidak cukup rehat. Hal ini akan menyebabkan mereka akan kelihatan lemah, tidak bermaya dan kepenatan.

Ini kerana mereka sering berfikiran tentang perkara-perkara yang negatif dan akan menyebabkan emosi mereka semakin terganggu. Ia boleh mendorong mereka untuk berhalusinasi

3. Mengasingkan Diri

Ibu dalam pantang yang mengalami kemurungan akan lebih suka mengasingkan dirinya dari orang lain. Mereka lebih gemar duduk secara bersendirian tanpa diganggu oleh sesiapa pun termasuklah suaminya sendiri.  Mereka akan rasa kurang bersemangat dan tidak mahu bersemuka dengan orang luar

4. Perubahan Pola Makanan

Masalah kemurungan ini juga akan menjejaskan pola pemakanan ibu berpantang. Ia boleh jadi ibu tersebut akan makan banyak atau boleh jadi mereka akan rasa tidak berselera. Ini akan menjejaskan kesihatan ibu kerana ibu mungkin tidak cukup zat dan nutrisi yang diperlukan untuk badan dan juga sebagai bekalan untuk menghasilkan susu badan. Secara tidak langsung, keperluan bayi mereka untuk menyusu juga akan terjejas seperti susu cair, susu kurang kualiti, bayi tidak kenyang dan sebagainya.

Peranan Suami

Masalah kemurungan yang berlaku di kalangan ibu berpantang ini seharusnya tidak boleh diambil ringan kerana ianya sangat bahaya jika dibiarkan dan tidak dirawat. Justeru itu, penaran suami amatlah penting untuk mengembalikan kegembiraan kepada isteri supaya dapat menjalani tempoh berpantang yang lebih baik. Para suami perlu sentiasa beri sokongan kepada isteri dan sentiasa berada disamping mereka kerana mereka pasti ingin dapatkan pertolongan dari suami. Suami juga seharusnya belajar untuk menguruskan bayi walaupun baru pertama kali menimang cahaya mata supaya dapat memberi ruang kepada isteri untuk berehat sepenuhnya. Ini kerana proses kehamilan yang panjang dan juga proses kelahiran yang menyakitkan merupakan detik yang amat besar bagi seorang wanita.

Jika para suami melihat tanda-tanda kemurungan ini pada isteri semakin serius dan membimbangkan, maka segera lah mengambil tindakan untuk membawa isteri berjumpa dengan pakar kaunseling di klinik-klinik pakar.


Semoga apa yang saya kongsikan dengan anda semua mendapat manfaat yang baik.

0 comments:

Post a Comment